BERKAMPUNG selama tiga hari di Merlimau, Melaka, membawa penulis bertemu dengan pelbagai watak. Watak-watak itu telah membawa kepada pengasingan satu slot cerita yang unik. Mereka tidak mendongengkan kisah sebaliknya menuturkan historiografi kehebatan tanah tumpah darah sendiri dengan penuh ketulusan.
Hari pertama, penulis bertemu dengan seorang pewaris pahlawan Melayu Melaka yang masih mendiami sebuah kediaman yang dikenali sebagai Rumah Penghulu Natar. Seterusnya, terserempak pula dengan seorang yang mengaku dirinya berdarah Tun Fatimah.
Bagaimanapun, pertemuan empat mata bersama seorang pengembala lembu bernama Mohamad Sulong, 54, yang sedang memandu kereta lembunya bersiar-siar di sekitar Merlimau sesungguhnya membangkitkan nostalgia era purba. Di Merlimau juga penulis bertemu dengan para nelayan di Jeti Merlimau yang tinggi budi bahasanya. Daripada tona kulit mereka jelas membayangkan betapa sukarnya pekerjaan mereka.
Namun perkenalan dengan tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, 69, yang secara kebetulan menetap di Pekan Merlimau umpama tuah buat penulis.
Barangkali dia sudah biasa dikunjungi tetamu. Lelaki warga emas yang berdarah campuran Bugis dan Palembang itu segera mengambil buku dan sebuah ensiklopedia klasik dari almari besi yang sarat dengan buku-buku lama di beranda rumahnya. “Awak pasti ingin tahu asal-usul nama Merlimau, sila duduk, kita berbual kat sini (beranda) ya,” katanya bersungguh sambil tangannya mencapai suis kipas di dinding.
Ada dua versi sejarah Merlimau. Cerita pertama, sumbernya adalah daripada orang-orang Palembang, kata Baharam atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Baram.
Sejarah nama Merlimau
Masyarakat Melayu purbakala seperti yang diriwayatkan mahir bersilat dan menggunakan keris sebagai senjata mempertahankan diri. Bagi menjaganya, terdapat satu upacara yang dipanggil Melimau Keris yang diadakan setiap malam Jumaat.
“Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru dan bila ditanya mereka hendak ke mana, mereka akan menjawab, ‘hendak melimau’, ‘hendak melimau’ dan akhirnya tempat itu dinamakan Merlimau,” ujar Cikgu Baram.
Sumber kedua pula datangnya daripada penceritaan mulut ke mulut di kalangan orang Bugis. Bingkisannya pula memperincikan tentang seorang pembesar Bugis yang bernama Datuk Kaya Makmun yang berhijrah ke Melaka.
Datuk Kaya Makmun dikatakan membuka satu kawasan yang pada asalnya sebuah hutan belantara yang besar. Di hutan itu juga terdapat sebatang anak sungai. Binatang buas terutama harimau dikatakan menjadi ancaman utama.
Jadi, cerita Cikgu Baram, Datuk Kaya telah mengarahkan orang-orangnya membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau.
“Dalam bahasa dahulu disebut mara (bahaya) rimau. “Datuk Kaya kata kita buat pagar, tahan mara rimau, mara rimau dan akhirnya jadilah Merlimau,” katanya yang pernah membukukan sejarah Merlimau pada tahun 1999.
Rumah penghulu Natar
Ketua Orang Laut, Datuk Timur yang merupakan salah seorang pengikut Parameswara dikatakan orang pertama yang mendiami Merlimau iaitu di Kuala Sungai Merlimau. Kawasan itu pada satu ketika dulu didominasi oleh keluarga nelayan berketurunan Orang Selatar dan Orang Laut.
Banyak perkara yang kami bualkan. Antara yang tidak lekang daripada mulut Cikgu Baram ialah Rumah Penghulu Natar. Kata bekas Ahli Lembaga Muzium Melaka dan sedang menyiapkan buku Sejarah UMNO Sebelum Merdeka itu, rumah itu adalah identiti Merlimau. Dia kemudiannya terus melagukan serangkap pantun yang berbunyi:
“Rumah sejarah jadi pelambang,
Anak Bugis punya pusaka,
Dari Salawasi ke Palembang,
Jadi bingkisan negeri Melaka.”
Penulis terpegun dan tanpa membuang masa, langkah dipanjangkan ke rumah yang dimaksudkan. Rupa-rupanya, puisi bukan sengaja didendangkan oleh Cikgu Baram. Satu bingkai kayu yang tertulis empat kerat pantun itu elok tergantung di pintu masuk rumah yang masih tidak rebah meskipun berusia hampir 200 tahun itu.
Pewaris kepada kediaman antik yang dipercayai adalah sebuah istana itu juga masih hidup. Kami sungguh bertuah kerana dapat bersua muka dengan Md. Ramli Md. Natar, 66, dengan anaknya Rizal, 37, yang merupakan generasi pewaris kepada penghulu itu.
Sambil Md. Ramli menyalakan puntung rokok dan Rizal pula mengambil posisi dengan bersandar pada sebuah kerusi, kedua-dua beranak memulakan pengkisahan.
“Rumah yang kaya dengan sejarah ini dibina oleh datuk saya iaitu Datuk Demang Haji Abdul Ghani Demang Haji Abdul Majid lebih kurang pada tahun 1895.
“Ia dianggap sebagai Istana Merlimau kerana ketika itu Melaka tak ada istana, rumah ini sangat luas dan ada pengaruh Palembang, Champa, Filipina dan Kemboja. Tidak terdapat rumah atau istana lain sezaman dengannya yang boleh menandingi rumah ini,” kata Md. Ramli sambil menghembuskan asap rokoknya.
Seni binanya begitu menakjubkan. Jika sebuah rumah mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk disiapkan, rumah warisan ini mengambil masa tiga tahun sebelum ia boleh didiami.
Bentuk Rumah Penghulu Natar bercirikan Melayu tetapi anjungnya berbumbungkan limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapurnya berbumbung lintang. Terdapat tiga buah anjung, sebuah pelantar simen, serambi yang luas dan sebuah dapur.
Memadailah dengan mengatakan rumah ini fungsinya seperti istana. Di sini, terdapat ruang mahkamah rakyat (tempat pesalah dijatuhkan hukuman), balai perundangan, pelamin kekal seperti balairong seri selain dijadikan lokasi memungut cukai.
Uniknya kediaman ini, ia tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya ada sebuah loteng untuk anak dara mendiaminya. Sumber air? Ada perigi di dalamnya.
Makam Tun Teja
Nilai sejarah Istana Merlimau ini tidak terperi. Nasionalis ulung negara, Datuk Onn Jaafar pernah menjadikan kediaman ini sebagai lokasi persinggahan dan perbincangan politik. Sifat luar biasa rumah itu juga telah menarik para produser dan pengiklan melakukan pengambaran di sini.
Jika pengamatan anda tajam, filem Sumpah Semerah Padi, Lagenda Lela Manja dan iklan lama teh Lipton menggunakan warisan terhebat ini sebagai latar belakang produksi masing-masing. Cikgu Baram sendiri pun terpanggil untuk menulis sebuah buku khas mengenainya yang berjudul Rumah Merlimau.
Barangkali ramai yang kurang mengetahui bahawa Merlimau memiliki beberapa khazanah sejarah yang berharga. Agak aneh kerana tempat-tempat tersebut tidak disenaraikan secara jelas dalam peta pelancongan negeri Melaka.
Menyusuri jalan ke Kampung Pangkalan Samak, kelihatan ramai orang berpusu-pusu ke sebuah lokasi dan kelihatan sedang berdoa.
Di situ terletak sebuah makam yang dipercayai Makam Tun Teja Ratna Benggala (Tun Teja) yang merupakan anak kepada Bendahara Pahang (Inderapura) Sri Amar Diraja. Riwayat menyebut, Tun Teja adalah isteri kepada Sultan Mahmud Syah (1458-1511).
Apabila Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511, baginda telah berundur ke Bentayan (Muar). Semasa pengunduran inilah, Tun Teja yang ketika itu sedang gering, mangkat. Jasadnya dipercayai dimakamkan di situ dengan penuh adat istiadat.
Kurang dua kilometer (km) dari situ, terdapat satu lagi produk pelancongan yang terpinggir di celah-celah hutan kecil iaitu sebuah Perigi Portugis.
Kewujudannya adalah rentetan cubaan orang Melayu yang membuat serang hendap ke atas Portugis di Kuala Merlimau yang terpaksa menggali perigi bagi mendapatkan bekalan air.
“Meskipun Melaka kalah di tangan Portugis, mereka mahu membalas balik, jadi terpaksalah membuat kubu di situ,” cerita Cikgu Baram apabila ditanya asal usul perigi itu.
Secara keseluruhan, pada hemat penulis, Merlimau adalah sebuah pekan yang berada pada parameter yang hebat. Apa yang didapati di bandar Melaka, semuanya ada di Merlimau. Pendek kata, Merlimau ada segala-galanya. Cuma apa yang diharapkan adalah kerajaan Melaka boleh membuat kajian semula terhadap potensi Merlimau untuk dijadikan destinasi pelancongan terunggul selepas Banda Hilir.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3JT1sbB24
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment